Saturday, 28 March 2015

Penggunaan Media Baru dalam Dunia Politik

Media merupakan medium yang digunakan untuk menyalurkan informasi dari sumber infomasi kepada pembaca. Media memainkan peranan penting dalam membentuk negara yang kukuh dari segi ekonomi, politik dan sosial. Setiap manusia memerlukan media sebagai perantaraan untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Menurut Tankard (2001), komunikasi awal manusia melalui pelbagai peringkat dan perkembangan bermula daripada sistem media traditional sehingga kepada teknologi terkini seperti kemunculan internet yang menawarkan aplikasi. Antaranya ialah web sosial seperti Facebook, Blogs, Twitter dan lain-lain. Menurut Severin dan Tankard (2001), internet telah memberi ruang kepada semua manusia di dunia untuk berkomunikasi antara satu sama lain dengan mudah dan pantas.
Transformasi media konvensional ke media baru telah merencanakan perubahan pemikiran rakyat. Maklumat mudah diakses oleh semua masyarakat melalui jalur lebar tanpa wayar telah memberi peluang yang besar dalam politik Malaysia. Pihak politik seperti pihak Barisan Nasional dan pihak parti pembangkang menggunakan media baru untuk berkempen, dan menyebarkan propaganda serta untuk memenangi hati rakyat. Menurut Nor Jawahir dalam penulisannya yang bertajuk Kuasa Arus Media Baru & Laman Sosial Pengaruh Pemikiran Rakyat, media baru telah berjaya memainkan peranannya melalui penulisan, propaganda atau idea kolektif yang dilakukan tidak kira dalam kalangan pemimpin politik atau rakyat biasa.
Pada masa kini, ramai pemimpin politik mempunyai blog persendirian atau akaun laman sosial untuk meluahkan pendapat peribadi kepada pengikut atau para penyokong mereka di luar. Begiu juga dengan rakyat biasa yang sering mengulas dan mengkritik isu politik di blog mahupun laman sosial. Kemajuan teknologi juga membuat rakyat mula mengenali dan mengetahui tentang “media blackout” iaitu halangan atau tapisan maklumat oleh pemimpin politik yang menutup kelemahannya kepada masyarakat.
Di samping itu, blog pengkritik politik juga membawa pengaruh yang lebih besar walaupun tidak mempunyai kuasa yang sah dalam kerajaan tetapi memberi kesan yang besar kepada corak politik dan pemilihan pemimpin. Ramai blogger telah diambil tindakan kerana dengan beraninya mengulas isu-isu pemimpin dan isu yang tidak saksama bagi mereka serta kritikan politik. Hal ini merupakan cabaran kepada pemimpin politik kerana dengan kewujudan media baru, mereka akan dinilai oleh rakyat. Namun, adakah dengan kecanggihan teknologi dan wujudnya media baru telah mengancam parti politik di Malaysia? Dengan adanya media baru, rakyat telah menggunakan hak bersuara untuk bersuara dan mencari kebenaran di sebalik hegemoni dan pimpinan para pemimpin. Persoalannya, adakah kewujudan media baru mengancam keamanan negara ataupun memberi peluang kepada rakyat untuk bersuara?

Watch "Media Baru & Politik Malaysia" on YouTube - Media Baru & Politik Malaysia: http://youtu.be/Lh6SHtTjhvc

7 comments:

  1. Media sosial sememangnya berkesan untuk digunakan sebagai medium untuk menyebarkan propaganda. Hal ini disebabkan media sosial merupakan sesuatu yang hampir setiap generasi muda gunakan. Sesuatu yang dimuat naik ke media sosial juga dapat di'share' dengan hanya menekan butang klik sahaja. Dengan itu, sesuatu isu yang berada dalam media sosial boleh disebarkan dengan begitu mudah dan berkesan.
    Pada pendapat saya, adalah tidak wajar sekiranya kita menyatakan bahawa media sosial mengancam keamanan negara. Melalui sudut pandangan saya, media sosial telah memberi peluang kepada orang awam untuk melihat dan mendengar isu-isu dari pelbagai sudut pandangan yang berbeza.

    ReplyDelete
  2. Media sosial memang tidak mengancam keamanan negara namun kita perlu fikir bahawa konsep media sosial yang terlalu bebas itulah yang mampu mengancam keamanan negara. Memang media sosial memberi peluang kepada orang awam untuk melihat dan mendengar isu dari pelbagai sudut namun tidak semua isu boleh diterima oleh semua pihak. Apabila segelintir masyarakat yang tidak suka pada sesuatu isu tersebut maka mulalah mereka akan mengeluarkan komen dan kenyataan yang mampu memporak porandakan sesebuah negara. selain itu, ideologi yang dikeluarkan melalui media sosial juga mampu mengugat keamanan negara. Oleh itu, berhati-hatilah ketika menggunakan media sosial :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bagus pendapat yang diberikan oleh sugim, tetapi adakalanya manusia sendiri yang gagal menahan nafsu marah dan terus memberi komen tanpa berfikiran lebih jauh. Saya tidak menyalahkan media sosial, tetapi saya hanya menyalahkan manusia yang menggunakan media sosial tanpa berfikiran lebih jauh. Ada betulnya media sosial membantu manusia lain menerima maklumat dari pelbagai sudut, tetapi kesahihan dan kepentingan diri manusia lebih utama dan menjadikan mereka tidak berada di landasan yang betul. Maaf sekiranya pandangan saya berbeza,

      Delete
  3. Media sosial sangat pantas dalam menyebarkan ideologi yang diperjuangkan oleh mana-mana parti politik. Hal ini kerana media sosial ini dimiliki oleh hampir setiap masyarakat dan oleh sebab itu, individu yang bertanggungjawab untuk menyebarkan ideologi yang diperjuangkan untuk parti tersebut mudah menyebarkan kepada masyarakat.
    Kemudahan media sosial untuk menyebarkan propaganda berkaitan yang sangat meluas sebenarnya juga mampu mengancam keamanan negara. Melalui media sosial, parti-parti politik dikatakan mampu menanamkan serta menghasut para pengguna media sosial tersebut untuk turut menyertai menyokong ideologi yang diperjuangkan oleh parti yang berkenaan. Keamanan negara turut mampu terancam melalui media sosial apabila individu tersebut mampu untuk menyebarkan atau menghasut pengguna lain untuk bangkit memperjuangkan ideologi tersebut sehingga mampu mencetuskan 'perhimpunan haram' bagi menegakkan kebenaran ideologi yang diperjuangkan oleh parti politik tersebut.
    Media sosial yang dijadikan sebagai landasan untuk menyebarkan ideologi sesebuah parti politik tersebut yang turut mampu mengancam keamanan negara.

    ReplyDelete
  4. saya berpendapat bahawa media sosial tidak mengancam politik negara kerana setiap parti mempunyai cara yang tersendirin dalam menentukan aliran parti pilitik mereka. Namun, penggunaan laman sosial terutamanya blog boleh mengancam ketenteraman negara, ini kerana pergolakan yang berlaku dalam dunia politik menyebabkan masyarakat menjadi ragu-ragu dengan info yang di salurkan di media arus perdana seterusnya menyebabkan mereka beralih arah ke blog dan juga berita online bagi mendapatkan maklumat. namun, terdapat sesetengah pihak yang sering mengambil kesempatan dengan memutar belitkan fakta sehingga mnyebabkan berlakunya salah faham yang boleh mengugat ketenteraman awam

    ReplyDelete
  5. Dunia politik seringkali diwarnai dengan pelbagai spekusi dan isu. Kemajuaan teknologi dan internet membuka peluang kepada rakyat mengambil pendapat tentang sesebuah isu dan polisi yang dirangka oleh pihak kerajaan. Pada saya dunia politik masa kini sedang mengalami satu perubahan yang berbeza. Kepesatan dunia internet masa kini menuntut ahli politik mendakap aplikasi baru seperi tweeter, facebook, blog dan instagram. Jika kita selusuri pilihan raya sebelum ini kejayaan pihak pembangkang meraih banyak sokongan rakyat adalah kerana keupyaan mereka untuk mendakap dan mengaplikasikan teknologi media baru dalam menyampaikan ideologi mereka. Soal ancaman adalah sesuatu yang abstrak untuk dibincangkan hak ini demikiaan kerana pada pandangan saya setiap parti politik mempunyai kelemahan dan kelebihan yang tersendiri. kejayaan sesebuah parti politik untuk terus berkembag adalah bergantung kepada pendekatan dan kebijaksaan mereka "memujuk " dan menyampaikan agenda plitik masaing-masing. Pada saya Kewujudan media mengancamkedudukan negara , hal ini demikiaan kerana kewujudan media membolehkan sebaran berita palsu dan bersifat menghasut dapat disampaikan kepada rakyat cepat. Kebebasan bersuara perlu ada namun perlu dilatari dengan konsep tanggungjawab dan kefahaman yang mendalam tentang konsep hormat-menghormati kepada rakyat pelbagai kaum di Malaysia

    ReplyDelete
  6. Bagi pendapat saya, saya sangat setuju dengan artikel ini kerana sememangnya corak permainan politik berubah dengan adanya media baru ini. Sedikit sebanyak ahli-ahli politik perlu aktif mengunakan media sosial untuk mendekatkan diri mereka dengan penyokong. Dan pada saya ini adalah bagus kerana kebanyakan ahli politik tidak turun padang untuk bertemu penyokong tetapi dengan adanya media sosial, penyokong akan rasa dihargai jika mereka dapat berinteraksi dengan pemimpin politik yang mereka minati.
    Penggunaan media sosial ini tidak dilihat sebagai satu ancaman kerana jika timbul unsur- unsur yang boleh mengancam negara, pihak berkuasa sewajarnya pantas mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan yang mengancam keselamatan negara. Isu keselamatan negara tidak seharusnya wujud dengan adanya media sosial kerana terdapat pelbagai akta dan undang-undang yang boleh diguna pakai untuk menangani masalah ini. Dan semestinya dengan penglibatan ahli politik dengan media sosial membuka ruang untuk rakyat menyuarakan pendapat yang mereka punya dan supaya pemimpin tahu apa masalah sebenarnya yang dilalui rakyat. Tetapi pemimpin tidak boleh hanya menggunakan media sosial untuk memancing undi sahaja, ianya juga harus digunakan untuk meningkatkan prestasi khidmat pemimpin kepada masyarakat.

    ReplyDelete